Pokok Sinai/ Kesinai atau nama saintifiknya "Streblus Asper" memang tidak asing lagi pada penggemar tanaman 'bonsai' di Malaysia. Pokok ini banyak terdapat di hutan-hutan kecil dan belukar di kawasan utara tanah air,seperti Kedah dan Perlis.
Hal ini mungkin kerana keadaan cuaca lembab dan keadaan tanah yang sesuai dengan kehidupan tumbuhan tersebut. Oleh kerana mudahnya terdapat di kawasan tersebut, maka tidak hairanlah sepanjang jalan dari Perlis ke Padang Besar terdapat ramai pengusaha nursery yang menjual pokok-pokok tersebut.
Kalau sejak 10 tahun dahulu hingga sekarang ini pokok-pokok tersebut amat mudah di perolehi, adakah kemungkinan, lagi 10 tahun yang akan datang bilangan pokok-pokok tersebut akan berkurangan sehingga usaha mendapatkannya akan menjadi lebih sukar, sehingga terpaksa meredah ke tepi-tepi hutan.
Oleh itu adalah satu tindakan positif sekiranya pokok ini di tanam sendiri secara komersial untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah di masa-masa akan datang. Dengan kekurangan bekalan dan pertambahan permintaan terhadap pokok hiasan landskap ini tidak mustahil harga tanaman ini akan menunjukkan peningkatan yang tinggi dipasaran.