Sebenarnya minat tanam pokok bonsai memang sudah lama tetapi sudah banyak kali cuba, tidak berjaya. Minat datang semula pada penghujung tahun 2017 apabila ada seorang pakcik yang tinggal berdekatan dengan rumah saya minat dengan pokok bonsai .
Di rumahnya ada kira-kira 20 pokok bonsai yang ditanamnya sejak 20 tahun yang lalu iaitu ketika beliau masih bekerja di TUDM. Pokok bonsai di rumahnya sangat cantik. Beliau banyak menceritakan pada saya darimana beliau mendapatkan pokok bonsai tersebut.
Semua pokok bonsai tersebut digalinya sendiri di kawasan hutan berdekatan. (pada zaman itu kawasan sekeliling masih hutan belukar)
Dari ceritanya membuatkan saya ingin mencubanya. Kerana minat, saya telah membeli sebuah tanah lot di kawasan Bukit Pinang. Tidak sangka pula kawasan tersebut banyak terdapat pokok tersebut (pokok Sinai).
Dari situlah saya mula menanam pokok tersebut yang diambil dari tanah lot yang saya beli. Sekarang baru 8 bulan berlalu, saya sudah menggali hampir 15 buah anak pokok sinai tersebut.
Mula-mula kerana kurang pengetahuan dan teknik, pokok yang saya ambil mati. Saya mula tertanya-tanya, susah betul pokok sinai untuk ditanam rupanya. Dengan beberapa panduan serta teknik dari pakcik bonsai dan dari sumber youtube, pokok yang saya ambil kini mulai hidup cuma pokok masih baru semuanya dan belum dibentuk lagi.
Kini saya mula belajar mengenali tumbuhan tersebut dengan lebih mendalam lagi. Hendak tahu bagaimana teknik mengambilnya dari dalam tanah (pokok induk atau anak pokok), tanah yang sesuai untuk ditanam, baja serta air siraman yang diperlukan untuk tumbesarannya, menghasilkan daun yang cantik serta subur dan banyak lagi.
Orang cakap, lain orang lain pendapatnya, lain orang lain pengalamannya. Oleh yang demikian, jika ada salah dan silap artikel dalam blog ini mohon maaf kerana saya baru berjinak-jinak dalam dunia bonsai ini.
Pada sesiapa yang sudah lama menceburi bidang ini, saya mohon tunjuk ajar sekiranya ada yang tersalah.
(gambar yang dimuatkan di dalam blog ini adalah dari pengalaman sendiri menanam pokok sinai)